Thursday, December 23, 2010

Kerajaan tambah RM750,000 untuk realisasikan Pusat Kebudayaan Bisaya: TPM


LIMBANG: Kerajaan pusat meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM750,000 untuk membina Pusat Kebudayaan Bisaya yang berperanan bagi mempromosikan keunikan budaya dan adat resam Bisaya di peringkat kebangsaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek berkenaan yang sedang di-laksanakan bakal memberi keselesaan apabila ia siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini.
Beliau berkata, projek yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM1.5 juta itu amat diperlukan oleh masyarakat Bisaya di negeri ini untuk menonjolkan keunikan adat resam mereka yang kebanyakannya menetap di utara Sarawak.
“Kerajaan memahami keper-luan masyarakat Bisaya untuk mempunyai tempat serta kemudahan pusat kebudayaan dalam menjadikan ia sebagai budaya  nasional,” ujarnya.
“Peruntukan tambahan sebanyak RM750,000 diperlukan untuk menyiapkan pusat berkenaan yang dilengkapi dengan kemudahan asas secukupnya.”
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Pusat Kebudayaan Bisaya di Batu Danau di sini, semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan kenamaan lain.
Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus memfokus kepada pembangunan pendidikan termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Bagi tujuan tersebut, katanya, langkah drastik perlu diambil termasuk menyediakan audit sekolah seluruh negara yang berperanan melihat keperluan menaik taraf dan memperbaharui sekolah yang ada di negara ini.
“Malah, kerajaan turut menyediakan peruntukan besar untuk menaik taraf sekolah yang ada,” katanya.
Sementara itu, beliau memberi jaminan akan menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung di sini yang diancam masalah  hakisan tebing sungai dengan me-luluskan sejumlah peruntukan bagi tujuan itu.
Jelasnya lagi, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus memberi perhatian dan tumpuan terhadap nasib rakyat tanpa mengira perbezaan dan latar berlakang mereka.
“Kita mahu mengubah kehidupan dan taraf hidup rakyat agar nikmat pembangunan dapat dinikmati      bersama bukan sahaja di bandar, malah di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya lagi.
“Adalah penting bagi rakyat untuk memahami segala dasar ke-rajaan yang membela nasib rakyat melalui gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”
Beliau menambah, melalui konsep tersebut ia akan memberi pembelaan seadil-adilnya kepada rakyat.
Pada masa sama, tegasnya, kerajaan turut memberi lebih tumpuan kepada pembangunan kemudahan asas melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
“Melalui NKRA, kita akan melihat keperluan kemudahan asas di kawasan yang memerlukan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat mulai tahun depan dengan sejumlah peruntukan termasuk keperluan di Sarawak,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ia bukan sahaja bertujuan untuk mengubah kehidupan rakyat agar lebih baik, tetapi juga meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment