Thursday, June 28, 2012

Belia penyokong kuat BN



KUCHING: Sokongan golongan belia terhadap Barisan Nasional (BN) yang didapati masih kukuh di Sarawak akan menjamin kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU)akan datang.
Exco Pemuda BN Negeri Wan Hamzah Wan Paie memberitahu, perkara itu diambil kira setelah mengukur kejayaan Program Armada Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Misi Kemanusiaan yang berakhir bulan lepas.
“Kami dapati generasi pemuda khususnya belia Sarawak, masih lagi penyokong kuat BN.
“Menerusi sokongan kuat daripada belia ini, kita yakin BN akan terus mendapat kemenangan besar di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan secara tunai di sini, semalam.
Wan Hamzah yang merupakan pengerusi program armada tersebut memberitahu, ia juga telah berjaya menghidupkan momentum pilihan raya di kalangan pemuda.
“Saya percaya mereka dapat menghadapi pilihan raya yang akan diadakan bila-bila masa sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai prinsip negatif pihak pembangkang yang sering memperlekehkan pembangunan dibawa BN, beliau menasihati para pengundi untuk menolak mereka.
Pembangkang mahu rakyat mengamalkan prinsip hutang jangan dibayar, budi jangan dikenang dan bakti jangan dihargai.
“Tapi saya yakin, rakyat Malaysia dapat menilai sendiri nilai-nilai negatif dalam janji pembangkang, mungkin mereka tidak nyatakan dalam manifesto mengenai ini tetapi janji mereka jelas menunjukkan mereka tidak peduli dengan hutang.
“Kita tidak mahu mengheret negara ini ke arah kebankrapan dan heret masyarakat ke budaya tidak bertamadun seperti yang diamalkan oleh mereka sendiri,” katanya.


Sunday, February 26, 2012

Tidak pernah iktiraf Israel




Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut baik cadangan untuk mendedahkan isi kandungan surat antara beliau dan pemimpin Israel Ehud Barak kepada pihak media.

Beliau sebaliknya berpendapat bahawa pendedahan itu penting untuk menepis segala dakwaan negatif yang dilemparkan kepada beliau mengenai hubungan negara ini dengan Israel.

“Saya kerap kali didesak untuk mendedahkan surat yang diutus oleh pemimpin Yahudi itu meminta Malaysia mengubah pendirian dengan menjalin hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

“Malah saya terfikir untuk memuatkan bahan-bahan tersebut dalam buku terbitan pertama saya, tetapi tidak dibenarkan oleh kerajaan.

“Sekarang, kerajaan mahu mendedahkan isi kandungan surat berkenaan, dan saya hanya menghargai langkah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Kebangsaan Politik dan Patriotisme: Hala Tuju Sebenar di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), semalam.

Bercakap mengenai surat tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan bersedia untuk mendedahkan kepada media surat itu untuk keselamatan negara.

Beliau dalam kenyataan Jumaat lepas khuatir pihak pembangkang akan cuba menimbulkan kekeliruan berhubung surat berkenaan
.
Pada Khamis lepas, Dr Mahathir mengaku pernah menulis surat kepada dua Perdana Menteri Israel Ehud Barak dan Benjamin Netanyahu ketika beliau bergelar Perdana Menteri.

Namun menurut Dr Mahathir, surat tersebut adalah sebagai jawapan balas kepada surat yang diutus oleh dua pemimpin Yahudi itu.

“Ia benar. Saya terima surat daripada Nentanyahu dan Ehud Barak dan saya jawab balik mengatakan Malaysia tidak ada apa-apa hubungan dengan mereka selagi mereka tidak mengiktiraf  kedudukan orang Palestin,” katanya.