Sunday, February 20, 2011

Pilihan raya terakhir bagi Taib? Ketua Menteri membayangkan beliau mungkin bertanding untuk kali terakhir disebabkan faktor usia

BALINGIAN: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan beliau mungkin akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang untuk kali terakhir, sebelum bersara, disebabkan oleh faktor usia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian itu turut mengesahkan bahawa keputusan mengenai tempat di mana beliau akan bertanding dalam pilihan raya negeri kelak hanya akan diputuskan pada saat-saat akhir.
“Mungkin saya bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang untuk kali yang terakhir disebabkan usia semakin meningkat. Saya sangat menghargai sokongan rakyat di sini.
“Bagaimanapun, seperti dalam pilihan raya negeri mahupun umum terdahulu, kawasan di mana saya bertanding hanya diputuskan pada saat-saat akhir,” katanya.
Beliau menyatakan demikian sebagai maklum balas terhadap permintaan warga daerah kecil ini yang masih mahukan beliau kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dalam pilihan raya negeri akan datang.
Permohonan itu dizahirkan Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad semasa berucap dalam Program Berambeh Jegem Ketua Menteri di Balai Raya Kampung Kuala Balingian, di sini semalam.
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang kini berusia 74 tahun itu menegaskan, kebolehan beliau mentadbir negeri ini dengan berkesan diinspirasikan oleh perpaduan utuh di kalangan rakyat jelata.
“Negeri ini akan selamat jika kestabilan politik yang ada sekarang berkesinambungan. Berpolitik memang tidak sempurna. Tiada pemimpin hari ini yang 100 peratus sempurna.
“Bohong andai ada yang mendakwa boleh mentadbir secara 100 peratus sempurna. Apa yang ada (kemajuan) pada hari ini pun cukup baik, perlu dipertahan dan diteruskan,” jelasnya.
Selain itu, beliau berpesan kepada rakyat agar tidak bergaduh sesama sendiri seperti yang sedang berlaku di beberapa negara di Teluk ketika ini.
“Jangan berebut-rebut. Sedikit sama sedikit. Banyak sama banyak. Bahkan, pembangunan fizikal yang mantap sekarang membolehkan ekonomi meningkat. Pendapatan perkapita rakyat juga bertambah baik.
“Pada masa sama, saya menyeru rakyat supaya tidak mudah terpesona dengan janji-janji manis pembangkang yang bertujuan untuk meraih undi simpati,” tambahnya.
Hadir sama ialah isteri beliau Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Abu Seman Jahwie, Pengarah Urusan Kumpulan Parabena Sdn Bhd, Datuk Raziah Mahmud serta Penghulu Johari Mahali.
Pada pilihan raya negeri yang lepas, Taib yang bertanding di kerusi DUN N.51 Balingian atas tiket BN-PBB berjaya memenangi kerusi itu dengan memperolehi 6,393 undi dan majoriti 5,726 (89.06 peratus), mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ibrahim Bayau yang hanya memperolehi 667 undi.

No comments:

Post a Comment